Site Overlay

Cari pasangan melalui Kem Dapat Jodoh

PUTRAJAYA: “Sebenarnya, penyertaan saya dalam Kem Dapat Jodoh ini diaturkan anak sendiri dan mungkin ini yang mereka mahukan untuk saya mencari kebahagiaan sebenar,” kata Norila Mansor, 46.

Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu adalah antara peserta yang mengikuti kem mencari ‘cinta’ selama satu hari yang dianjurkan NDA Training Consultancy di Putrajaya.

Norila berkata, dia tidak menyangka apabila anaknya memaklumkan namanya sudah didaftarkan dalam kem berkenaan dan dia perlu mengikuti kursus dianjurkan pihak penganjur.

“Saya agak terkejut apabila dimaklumkan mengenai kem ini, namun berterima kasih kepada mereka kerana mahu saya gembira dan bahagia seperti wanita lain.

“Namun, niat saya menyertai kem ini bukan mahu mencari jodoh saja, sebaliknya saya mahu menambah ilmu yang dapat membantu saya mengubah diri menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui pada program Kem Dapat Jodoh di sini, hari ini.

Kem disertai lebih 500 peserta dari Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Terengganu itu memberi peluang kepada individu Muslim yang belum berkahwin untuk mencari jodoh.

Norila berkata, selepas dua kali gagal mempertahankan perkahwinannya, dia kini mahu mencari ketua keluarga yang boleh membimbingnya dalam bidang agama.

Sementara itu, pengasas kem berkenaan, Nor Daayah Abdullah berkata, pelaksanaan kem berkenaan antara usaha pihaknya membantu mereka yang mahu mencari pasangan yang halal.

Beliau berkata, kem pertama dilaksanakan pihaknya itu menerima sambutan amat menggalakkan sehingga terpaksa mengehadkan penyertaan peserta.

“Melalui kem ini, peserta didedahkan cara mempersiapkan diri secara fizikal, mental dan kewangan sebelum mereka mencari pasangan, selain mempelajari kaedah mengatasi kelemahan masing-masing.

“Selain itu, kita juga mengaturkan sesi taaruf kepada peserta untuk mereka berkenalan dengan pasangan yang berkenan tetapi mengikut landasan ditetapkan agama,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang memperluaskan lagi kem itu melalui sesi jelajah di enam lokasi bermula akhir April depan di Perak; Johor; Terengganu; Melaka; Kuala Lumpur dan Sabah.

“Kami tidak menjanjikan peserta bertemu jodoh tetapi ini platform untuk membantu rakan Muslim yang bujang mencari pasangan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang berminat menyertai kem ini boleh menghubungi talian 0182937188 atau di laman sosial, Facebook Nor Daayah Legasi Semut Merah ‘LSM’.

English English Bahasa Melayu Bahasa Melayu